TAK dapat dinafikan Yuna adalah kebanggaan Malaysia dan berada dalam kelasnya tersendiri apabila namanya kian dikenali di Amerika Syarikat.
Terbaharu, Yuna bakal muncul dalam program E!News Asia Special yang memaparkan perjalanan kerjaya seni dan juga kehidupan peribadinya.
Namun di sebalik kecemerlangan karier, Yuna nampaknya kurang bernasib baik bab percintaan.
Jika sebelum ini Yuna agak keberatan berkongsi kisah peribadinya lebih-lebih perihal cinta, namun akhirnya penyanyi berusia 28 tahun ini mendedahkan hubungan istimewa dengan jurukamera kacak, Julian Schratter telah pun berakhir.
Tanpa selindung Yuna menyifatkan kesibukan dalam bidang nyanyian menjadi penyebab utama kepada kegagalan hubungan tersebut.
“Saya solo sekarang. Saya tidak berkawan rapat dengan mana-mana lelaki sebab saya rasa ia susah kerana saya seorang yang sangat sibuk dengan kerja.
“Lagipun saya tahu, sukar untuk orang lain memahami kerja seperti saya. Tambahan saya mempunyai kehidupan di LA dan juga di Malaysia.
“Jika mahu bercinta kembali, saya perlu mencari seseorang yang boleh menerima dan betul-betul memahami saya. Mungkin dia (Julian) kurang sesuai,” katanya, memetik laporan Malaysian Digest.
No comments