ARIZONA – Gara-gara kecewa dengan kegagalan perkahwinannya selepas si isteri meninggalkannya, Kevin Cotter mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi kekecewaan itu.
Dia telah menerbitkan buku 101 cara bijak untuk menggunakan gaun pengantin milik bekas isterinya.
Kevin, 41, mengalami keperitan hidup selepas bekas isterinya meninggalkan dia setelah 12 tahun berkahwin.
Ketika melangkah keluar rumah, wanita itu membawa semua barang miliknya kecuali gaun pengantinnnya.
“Buatlah apa sahaja dengan gaun pengantin ini,’’ itu kata-kata akhir bekas isterinya itu sebelum meninggalkan Cotter.
Selama empat tahun Cotter memikirkan cara terbaik untuk menggunakan gaun berkenaan dan akhirnya dia berjaya melahirkan idea bagaimana gaun itu boleh digunakan.
Ia termasuk menjadikannya sebagai hammock, layar dan kain pengelap kasut.
“Idea menerbitkan buku ini tercetus ketika saya sedang makan malam bersama ibu bapa, abang dan kakak ipar saya. Saya terangkan kepada mereka mengenai gaun itu dan kakak ipar saya menyatakan terdapat 101 cara untuk menggunakannya,’’ katanya.
Jelasnya selepas ditinggalkan oleh isterinya, dia yang mempunyai dua anak itu menggunakan gaun perkahwinan itu sebagai terapi.
Namun tindakannya menerbitkan buku itu nyata tidak menggembirakan bekas isterinya yang mahu dia mendapatkan kaunseling bagi menghadapi kemarahan itu.
“Dia menyangka saya mahu membalas dendam namun nyata perkara ini tiada kaitan dengannya.
“Saya lakukan untuk diri saya kerana saya mahukan jawapan, apa yang boleh dilakukan dengan gaun pengantin yang sudah dipakai,’’ katanya.
No comments