Pasir Puteh: “Berikutan rupanya di belakang serta wajahnya tidak seperti perempuan, langsuir pemalu kepada wanita, namun meminati lelaki,” kata pengamal perubatan tradisional, Ramli Yusof, 41, yang mendakwa berjaya menangkap ribuan hantu sepanjang empat tahun pembabitannya dalam bidang itu.
Terbaru, lelaki berasal dari Kampung Gong Manok, Semerak, dekat sini, mendakwa berjaya menangkap empat langsuir, masing-masing dua di Gong Pasir, Gong Tinggi (satu) dan Gong Lapang (satu), dekat sini, minggu lalu
Sebelum itu, 5,000 penduduk dari tiga kampung terbabit selain Kampung Tasek dan Penaga Putar (Jerteh, Terengganu) dikatakan takut keluar rumah terutama selepas jam 9 malam sejak beberapa minggu lalu.
Ini kerana ada beberapa penduduk mendakwa pernah terserempak dan diganggu makhluk itu yang dikatakan suka mengilai dan terbang.
Foto
ORANG ramai menunjukkan lokasi seorang penduduk mendakwa melihat lembaga berterbangan.
Ramli berkata, dia bersama seorang lagi rakannya berjaya menangkap empat langsuir itu selepas dikatakan sering mengganggu penduduk di kampung berkenaan.
Katanya, makhluk itu ditangkap dalam tempoh tidak sampai sepuluh minit dengan membaca beberapa ayat suci Al-Quran.
“Saya ‘memasungkannya’ di satu tempat khusus dan akan ‘menghantarnya’ balik ke tempat asal selepas 40 hari ditangkap. Ia tidak boleh dilepaskan sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri boleh mengganggu orang lain.
“Sebelum menangkap, saya membaca jampi di rumah dan ketika itu penduduk memberitahu terdengar langsuir melolong seperti kesakitan, bukan lagi mengilai,” katanya yang tidak dapat menunjukkan langsuir yang ditangkap kerana bimbang menimbulkan riyak dan ia adalah syarat perubatan yang perlu dipatuhinya.
Cerita langsuir yang dikatakan mengganggu penduduk membabitkan beberapa kampung berkenaan menjadi bualan hangat apabila isu itu dikesan tersebar meluas di laman sosial Facebook.
Tinjauan mendapati, ada penduduk mendakwa terserempak dengan makhluk itu yang dikatakan berbadan merah menampakkan seperti isi daging manusia dengan dua gigi taring tajam di bibir bawah.
Penduduk Kampung Penaga Putar, Tuan Muda Tuan Mat, 48, berkata, dia menyaksikan sendiri kelibat lembaga terbang sambil mengilai panjang ketika pulang ke rumah dengan motosikal seorang diri, kira-kira jam 12 tengah malam, minggu lalu.
Katanya, walaupun tidak nampak secara jelas, dia memberanikan diri untuk memberhentikan motosikal dan ketika itu, kedengaran jelas suara lembaga itu menyebabkan bulu romanya berdiri.
“Perasaan takut datang lagi ketika tersedar daripada tidur pada malam itu kerana sebelum ini saya ada terdengar orang kampung bercerita mengenai langsuir, namun, saya tidak percaya sehinggalah berdepan dengannya sendiri,” katanya.
“Suara langsuir itu cukup menyeramkan saya,’ katanya.
Sementara itu, Pegawai Agama Jajahan Pasir Puteh, Ahmad Talhah Ab Rahman berkata, beliau tidak jelas mengenai gangguan langsuir itu kerana hanya mengetahuinya melalui Facebook.
“Susah nak cakap sebenarnya, tak nak percaya tak boleh juga, kita kena ingat Islam juga mengajar umatnya mempercayai perkara ghaib seperti wujudnya jin dan syaitan.
“Cuma, jangan kita panik dan terlalu takut kerana ia boleh menjejaskan iman, kena sama-sama jaga akidah dengan sentiasa merujuk kepada pakar atau orang yang layak membicarakannya,” katanya.
Beliau tidak menafikan ada mendengar cerita mengenai bomoh yang berjaya ‘menangkap hantu’, namun, mereka (bomoh) itu perlu berhati-hati kerana jin juga mungkin menipu dengan berpura-pura terperangkap.
“Sekalipun langsuir yang didakwa penduduk itu mungkin betul, makhluk itu tidak memudaratkan kerana ia mungkin jin jahat yang hanya mahu mengganggu manusia.
“Paling penting, orang ramai terutama yang beragama Islam perlu yakin Allah sentiasa menguji makhlukNya supaya tidak lupa serta sentiasa mengingatiNya,” katanya.
No comments